OLDTOWN White Coffee menolak semua khabar angin dan dakwaan bahawa produk-produk kami mengandungi bahan babi. Dakwaan dalam video yang sedang disebarkan di pelbagai saluran media sosial adalah tidak benar.

Kami juga ingin menekankan bahawa semua cawangan OLDTOWN White Coffee di Malaysia memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sejak tahun 2010. Pensijilan halal serta peraturan yang ditetapkan bukanlah sesuatu yang dipandang ringan. Kami memastikan bahawa ramuan yang digunakan dalam makanan dan minuman kami langsung tidak mengandungi sebarang kandungan babi atau bahan tidak halal.

Wakil tempatan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah mengunjungi cawangan-cawangan berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut dan mereka mengesahkan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Sila rujuk kenyataan oleh pihak JAKIM untuk penjelasan yang mengesahkan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar: https://www.facebook.com/HabHalalJakim/photos/a.744506395708636/1775823102576955.

Untuk maklumat lanjut mengenai pensijilan halal cawangan-cawangan kami, sila rujuk Portal Rasmi Halal Malaysia: http://www.halal.gov.my/v4/index.php?data=bW9kdWxlcy9uZXdzOzs7Ow==&utaman=info

Kami menggesa dan memohon bantuan para netizen supaya hentikan penyebaran sebarang maklumat palsu. Pada masa ini, kami sedang berbincang dengan pihak guaman dan kami akan mengambil tindakan undang-undang sepenuhnya terhadap individu-individu yang didapati membuat tuduhan palsu.

Terima kasih.
PENGURUSAN
OLDTOWN WHITE COFFEE

Download Statement

 

 

KENYATAAN DARIPADA JAKIM

(dipetik dari https://www.facebook.com/HabHalalJakim/)

13 NOV 2020, 7.01pg

PUTRAJAYA – Penjelasan Isu Status Halal Mi Kari OLDTOWN White Coffee

Ramai pengguna di media sosial mula menularkan video yang mendakwa Mi Kari OLDTOWN White Coffee tidak halal kerana menggunakan daging babi dalam kandungan mi kari mereka

Berdasarkan semakan pihak kami, premis makanan OLDTOWN White Coffee merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah. Perlu difahami bahawa premis makanan yang memiliki SPHM bermaksud seluruh rantaian halalnya telah disemak dan disahkan oleh pihak berautoriti.

Untuk makluman juga, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah mengunjungi cawangan OLDTOWN White Coffee berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut dan mengesahkan bahawa dakwaan yang tular melalui video berkenaan adalah TIDAK BENAR.

Justeru, masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu berita atau mesej tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama ummah dan menjejaskan keharmonian negara.

Selain itu, masyarakat pengguna juga digalakkan untuk mengutamakan produk atau premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah kerana ianya dijamin halal dan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard serta perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.

Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di¬ www.halal.gov.my.¬ Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar SmartHalal. http://www.smarthalal.com.my/faq.html

Pertanyaan / Keterangan di JAKIM:

Web: http://www.halal.gov.my/
Tel : 03-8892 5000 (
Isnin-Jumaat 8pg-5ptg)

Download Statement